KUCHING: Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berikrar bekerja keras memastikan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Petra Jaya yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
"Saya juga berikrar akan terus
memperjuangkan pembangunan dan kesejahteraan penduduk di Petra Jaya jika diberi mandat sekali lagi pada PRU ke-15 ini," katanya dalam kenyataannya hari ini.
Fadillah yang juga Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya buat kali kelima pada pilihan raya terbabit.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas kepercayaan diberikan kepadanya sebagai calon GPS bagi mempertahankan kerusi terbabit.
"Saya bersama 30 lagi calon GPS yang menerima watikah pelantikan calon hari ini bakal memikul amanah besar untuk parti dan bakal berdepan cabaran berbeza iaitu Undi 18 buat pertama kalinya," katanya.
Justeru, katanya mereka tidak boleh menjadikan kecemerlangan GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Disember tahun lalu sebagai sandaran dan kesemua calon serta jentera pilihan raya GPS tidak boleh memandang ringan cabaranparti lawan.
"Sebaliknya perlu bekerja keras untuk memenangi sokongan pengundi segenap lapisan usia dan memastikan setiap pendekatan, dasar serta perjuangan GPS
sampai kepada rakyat," tambahnya.
Sumber dari : Jiwa Bakti